Dr. Nur Arzuar Abdul Rahim
Jabatan Perubatan Klinikal, Insitut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT)
Apa itu Autisme
Autisme merupakan
masalah berkaitan perkembangan otak kanak-kanak yang melibatkan 2 komponen
utama iaitu kanak-kanak yang mengalami kesukaran bersosial dan berkomunikasi
dan kanak-kanak tersebut juga mempunyai corak tingkahlaku , minat atau aktiviti
yang berulang-ulang dan terhad (Early Autism Project (EAP) Malaysia, 2023). Selain itu kanak-kanak ini turut mengalami masalah berkaitan deria sensori dan
turut mempunyai perlakuan yang sterotaip.
Terdapat pelbagai
sebab kenapa diagnosis Autisme ini makin kerap kita dengar dalam kalangan masyarakat.
Pertamanya kerana peningkatan kesedaran umum berkaitan keadaan ini yang
menyebabkan para ibu bapa segera mendapatkan perawatan dan intervensi awal
untuk anak mereka. Miskipun penyebab Autisme masih belum diketahui, kajian
penyelidikkan yang dijalankan mendapati faktor-faktor risikonya melibatkan
unsur genetik, persekitaran, interaksi genetik dan juga epigenetik. Terdapat
juga faktor lain yang meningkatkan risiko Autisme seperti umur ibubapa yang
telah lanjut semasa kelahiran bayi berkenaan, latar belakang masalah kesihatan
ibu semasa mengandung seperti insiden jangkitan kuman ketika ibu mengandung atau
masalah kencing manis. Kelahiran bayi pra-matang dan juga kurangnya berat badan
bayi semasa lahir atau “low birth weight” turut
meningkatkan risiko autisme. Vaksin seperti MMR sebenarnya tidak menyebabkan
autisme.
Tanda-tanda Autisme
Kekurangan interaksi sosial dan emosi.
Secara umumnya
kanak-kanak autisme tidak mengenali atau dapat memahami perasaan orang lain.
Mereka tidak berminat untuk berkongsi pengalaman atau perasaan. Tidak mengadu
kepada ibubapa walaupun sedang kesakitan atau kelihatan seolah-olah kuat tidak
berasa sakit. Mereka tidak memberi sapaan apabila mula berjumpa sesiapa atau apabila
hendak berpisah. Mereka tidak suka dipeluk atau memeluk orang lain. Mereka
senang menggunakan tangan seseorang sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu. Kadang-kadang
mereka akan menyentuh atau mendekati orang yang tidak dikenali. Mereka juga bercakap
dan berkata-kata namun bukan untuk berkomunikasi, tetapi sebaliknya lebih
kepada menamakan sesuatu objek. Selain itu mereka juga tidak atau kurang
bertutur secara dua hala dengan orang lain. Mereka juga tidak memahami apa yang
sepatutnya dilakukan di dalam konteks sosial ataupun susah untuk menyesuaikan
diri dengan jangkaan sosial. Kita juga boleh mendapati mereka tidak mengajuk
perlakukan atau “role play” ibubapa contohnya aktiviti menyapu sampah.
Kesukaran Berkomunikasi bukan lisan (non-verbal
communication)
Antara ciri yang
paling kerap dilihat dalam kalangan
kanak-kanak autisme adalah mereka kurang pandangan mata (poor eye contact) dengan
orang lain ketika kita berkomunikasi dengan mereka. Mereka tidak menuding jari
untuk menunjukkan sesuatu. Kadang-kadang mereka bercakap dengan cara yang
ganjil dari segi intonasi, “pitch”, atau kekuatan bunyi suara.
Kita juga boleh memperhatikan postur badan mereka atau cara membawa diri yang
statik dan agak berlainan berbanding kanak-kanak sebaya.
Kesukaran membina dan memupuk tali perhubungan
bersesuaian tahap umur
Kanak-kanak autisme
sukar mempunyai kawan atau tidak ramai kawan. Mereka dilihat tidak berminat
atau tidak tahu bagaimana nak berkawan. Mereka lebih suka menyendiri dan sukar
bergaul dengan kanak-kanak lain. Ini menyebabkan mereka sering tersisih atau
dipulaukan oleh rakan sebaya. Oleh sebab yang demikian, kita akan dapat
memperhatikan mereka lebih suka berkawan dengan kanak-kanak yang lebih muda
atau lebih tua darinya ataupun dengan orang dewasa. Apabila bermain pula,
mereka tidak tahu bermain olok-olok dan jika bermain, cara bermain mereka juga
agak terhad dan berulang. Mereka juga tidak bermain, menggunakan watak sosial
atau “role
play” contohnya bermain guru dan anak murid dan sebagainya.
Corak tingkah laku, Pertuturan, minat atau aktiviti yang
berulang dan terhad, serta masalah deria sensori dan perlakuan sterotaip
Dari segi corak
tingkah laku, kanak-kanak autisme mempunyai cara pergerakkan, pertuturan dan
cara bermain yang berulang-ulang dan sterotaip. Mereka sering melakukan pergerakkan
badan yang berulang-ulang dan sterotaip contohnya berpusing badan “spining”,
berjalan ke hulu ke hilir, “rocking” atau berjalan berjinjit (tip
toeing). Kadang-kadang mereka melakukan pergerakkan tangan yang luar biasa apabila
mereka teruja, berperasaan gembira atau resah contohnya bertepuk tangan,
mengepak-ngepak lengan atau mengibas-ngibas tangan “hand flapping”. Antara
ciri lain yang sering diperhatikan adalah, mereka sangat patuh kepada rutin dan
perbuatan harian “ritual” dan tidak fleksibel dan sukar diubah “rigidity”.
Sebagai contoh, jika ibu bapa sering melalui jalan A untuk ke nurseri dan hari
tersebut ibu bapa mengambil jalan pintas yang tidak biasa dilalui, maka
kanak-kanak tersebut akan “mengamuk” kerana jalan yang salah
dan diluar kebiasaan mereka. Kerap kali kita boleh melihat mereka gemar mengatur
mainan atau barang-barang mereka dalam satu baris secara berulang kali.
Penggunaan alat permainan berulang-ulangkali seperti memutarkan benda bulat
contohnya tayar kereta mainan secara berulang-ulang. Mereka juga mempunyai
minat yang sangat terhad dan fokus yang keterlaluan pada sesuatu yang mereka
minat. Jika mereka gemar dengan sesuatu objek, mereka sentiasa akan memegang
objek tersebut ke mana sahaja. Aktiviti dan minat mereka juga senang untuk
dijangka kerana mereka hanya mahu melakukan aktiviti yang sama contohnya
bermain dengan objek yang disukai sahaja.
Mereka juga mempunyai masalah deria sensori,
sama ada terlalu sensitif atau berkurangan. “Echolalia” merupakan terma yang merujuk
kepada perbuatan mengajuk pertuturan yang sama atau serta-merta atau mungkin dikemudian
perbualan. Ibubapa atau penjaga boleh memperhatikan ciri echolalia pada
kanak-kanak autisme. Selain itu, mereka biasa menggunakan bahasa sendiri yang
tidak difahami oleh orang lain. Kadang-kadang mereka menggunakan loghat bahasa
inggeris atau “accent” contohnya
British accent or American accent.
Ciri-ciri lain yang kerap dilihat pada Kanak-kanak Autisme
Antara ciri-ciri
lain yang sering dilaporkan oleh ibu bapa kanak-kanak Autisme adalah, mereka seperti
tidak mendengar atau pekak dan tidak memberikan respon ketika dipanggil. Mereka
mempunyai sejarah lambat bercakap atau tidak bercakap langsung pada usia 2
tahun. Selain itu daya tumpuan mereka juga kurang atau “poor attention span”. Mereka
boleh menjadi terlalu aktif atau terlalu pasif. Mereka juga kerap menunjukkkan
perangai “tantrum” tanpa sebab yang boleh menyebabkan ibubapa sukar
membawa mereka keluar rumah. Adakalanya mereka bercakap sendirian atau gelak
sendirian. Kadang-kadang ada dalam kalangan mereka nampak seperti sangat berani
atau terlebih penakut. Mereka sukar diajar menggunakan gaya pengajaran biasa
seperti kanak-kanak sebaya yang lain.
Tahap Kesukaran Kanak-kanak Autisme
Setiap kelainan
atau kesukaran bagi kanak-kanak Autisme boleh di bahagikan kepada 3 tahap
iaitu, tahap ringan, tahap sederhana dan tahap teruk. Bagi tahap ringan ,
aktiviti harian atau fungsi hariannya kurang terjejas, contohnya, mereka masih
boleh bercakap menggunakan ayat, walaupun ayat pendek. Bagi tahap sederhana
pula, kanak-kanak tersebut akan mengalami sedikit terjejas pada fungsi aktiviti
hariannya, contohnya, mereka mempunyai interaksi sosial yang terhad. Bagi tahap
yang teruk pula, fungsi aktiviti harian mereka terjejas dengan ketara walaupun
mendapat sokongan, contohnya mereka tidak dapat bertutur langsung.
Masalah-masalah
lain yang mungkin ada pada kanak-kanak Autisme adalah seperti masalah ADHD,
masalah kekurangan daya intelek, masalah kelewatan atau kesukaran bertutut,
masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau masalah kesihatan yang
melibatkan saraf (neurologi) seperti sawan atau epilepsi. Walau bagaimanapun
tidak semua mereka mempunyai masalah ini. Setiap kanak-kanak Autisme adalah
berbeza, tidak sama. Malah masing-masing mempunyai keunikkan diri mereka
sendiri dari segi penampilan masing-masing.
Diagnosis Autisme
Ketika ini, tiada
ujian perubatan khas seperti ujian darah, pengimejan dan sebagainya yang dapat
digunakan untuk mengesahkan autisme. Diagnosis masalah autisme hanya dapat
dilakukan secara pemeriksaan klinikal iaitu berdasarkan pemerhatian dan rekod
tingkah laku komunikasi dan tahap perkembangan kanak-kanak. Ia biasanya
dilakukan oleh pakar pediatrik umum, pakar pediatrik perkembangan kanak-kanak,
pakar psikiatrik kanak-kanak dan remaja atau pegawai psikologi klinikal
kanak-kanak. Apa yang ibubapa buleh lakukan adalah memantau perkembangan anak
masing-masing menggunakan senarai semak perkembangan kanak-kanak yang ada dalam
buku pemantauan kanak-kanak yang diberikan pada setiap anak-anak yang
dilahirkan di hospital di Malaysia. Pengesanan awal sebenarnya amat penting
bagi membolehkan rawatan dimulakan seawal mungkin. Intervensi awal amat penting
kerana ia boleh membantu mengurangkan gejala autisme selain dapat menyokong
perkembangan kanak-kanak paling optimum serta memberi mereka peluang untuk
berfungsi dengan paling baik. Intervensi awal juga boleh membantu otak
kanak-kanak ini berkembang kerana dipengaruhi dengan cara yang positif.
Secara
kesimpulannya, adalah penting ibu bapa dan penjaga kanak-kanak untuk sensitif
dengan tanda-tanda dan perkembangan yang dibincangkan diatas. Sebarang
kekeliruan boleh segera merujuk kepada doktor perubatan untuk kepastian dan
pemantauan. Intervensi awal amat penting kerana ia membantu perkembangan
kanak-kanak.
REFERENCE
1. Early Autism Project Malaysia Sdn. Bhd. (2023). Apa itu Autisme, Retrieved by 20 February 2023 from https://www.autismmalaysia.com/ms/apa-itu-autisme/